Sunday, December 21, 2008

Final SUA 2008 - Malaysia 0 Thailand 1

Malaysia gagal mencapai hasrat untuk menggongol pingat emas pertama mereka dalam acara bolasepak selepas tewas kepada Thailand 0-1. Gol Thailand yang dijaringkan seawal minit ke-9 telah membolehkan pasukan pelawat memperolehi keyakinan yang diperlukan. Pasukan negara bermain dengan baik dan mengatur banyak serangan khusus dalam separuh masa kedua tetapi gagal mencipta ruang untuk menjaringkan gol. Beberapa peluang yang diperolehi oleh pemain-pemain negara gagal dimanafaatkan.
Kemasukan Khairul Izwan Khalid dan Mohd Syafiq Mohd Zahari bagi menggantikan Ahmad Zaki Basharuddin dan Mohizam Shah Dawood Shah dalam separuh masa kedua sedikit sebanyak merubah rentak permainan, namun begitu dalam situasi kritikal untuk mendapatkan gol penyamaan, ianya gagal dimainkan oleh barisan negara. Apapun Malaysia redha dengan hanya sekadar memperolehi pingat perak dalam temasya SukanUniversiti ASEAN XIV Kuala Lumpur 2008 ini.
Barisan pemain - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Ahmad Zaki Basharuddin (Khairul Izwan Khalid), Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal.

Friday, December 19, 2008

Malaysia ke Final - Sejarah baru tercipta!

Kejayaan pasukan bolasepak negara ke final Sukan Universiti ASEAN 2008 telah mencipta sejarah baru untuk pasukan itu sendiri mahupun kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang menaungi sukan bolasepak universiti. Sejak pembabitan negara dalam kejohanan dwi tahunan berkenaan, ini merupakan kali pertama Malaysia melangkah ke perlawanan akhir. Pencapaian terbaik negara ialah apabila melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir dalam kejohanan di Surabaya, Indonesia pada tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia.
Pencapaian ini seterusnya mendorong para pemain untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan sejarah tercipta sebagai barisan pertama negara yang memenangi pingat emas dalam kejohanan Sukan Universiti ASEAN. Sekalipun beraksi dalam pentas yang berbeza, para pemain berazam untuk memberikan persembahan terbaik demi mengembalikan keyakinan dan maruah bolasepak negara di persada dunia, insyaAllah.

SUA 2008 - Malaysia 1 Singapura 0

Malaysia mencipta sejarah untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir acara bolasepak dalam Sukan Universiti ASEAN 2008 setelah menewaskan Singapura 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Kompleks Sukan Maybank, Bangi. Kehadiran ribuan para penyokong pasukan negara untuk memberi sokongan kepada para pemain jelas membangkitkan semangat. Malaysia membuat rombakan kecil dengan menyenaraikan Mohd Shafiq Mohd Zahari dalam kesebelasan utama menggantikan Luciat Dumat namun percaturan tersebut tidak mendatangkan hasil yang diharapkan sebaliknya Mohd Shafiq kelihatan gugup dalam penampilan sulongnya dalam kesebelasan utama. Khairul Izwan Khalid (gambar) menjaringkan gol kemenangan Malaysia hasil umpanan Mohizam Shah Dawood Shah pada minit ke 40.
Singapura tampak lebih tersusun berbanding pasukan negara yang kelihatan goyah namun ketangkasan penjaga gol, Mohamad Fahmi Mohd Isa berjaya menyelematkan beberapa percubaan bahaya yang dilakukan oleh pasukan Singapura. Malaysia memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menambah bilangan gol malangnya gagal disempurnakan oleh barisan penyerang negara. Malaysia kini dijadualkan bertemu Thailand dalam perlawanan akhir, insyaAllah.

Thursday, December 18, 2008

Malaysia waspada hadapi Singapura

Malaysia akan menghadapi Singapura malam ini dengan pendekatan yang berhati-hati. Ini perlu memandangkan Singapura adalah pasukan underdog yang telah melayakkan diri mengenepikan cabaran Vietnam. Malaysia akan menurunkan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Thailand sekaligus diharap mampu mengekalkan konsistensi permainan. Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang sesuai ketika menghadapi Singapura kerana dalam dua perlawanan sebelumnya, Singapura telah menggunakan permainan bertahan dan hanya menggunakan kaedah 'counter attack' menerusi seorang sahaja pemain penyerang. Apapun, adalah diharapkan barisan negara mampu menangani situasi ini dan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan dan pengalaman mereka untuk menghasilkan kemenangan dalam usaha mengukir sejarah melayakkan diri ke perlawanan akhir, insyaAllah.
Barisan kemungkinan - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Khairul Izwan Khalid

Wednesday, December 17, 2008

SUA 2008 - Malaysia 1 Thailand 0

Malaysia melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan bermakna setelah menewaskan musuh tradisi, Thailand 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Kompleks Sukan Maybank, Bangi malam tadi. Kehadiran hampir 3000 penyokong pasukan negara menyemarakkan lagi pasukan Malaysia dalam menghadapi Thailand. Gol cantik jaringan Mohizam Shah Dawood Shah (gambar) pada minit ke 60 menggegarkan Kompleks Sukan Maybank. Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang dan memperolehi peluang yang seimbang untuk menjaringkan gol.
Thailand bagaimanapun memiliki keupayaan teknikal yang baik berbanding Malaysia namun begitu kesungguhan dan kemampuan menggunakan ruang yang hadir untuk menjaringkan gol ternyata memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan. Ketua pasukan, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal memperolehi 2 peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun peluang itu dipersiakan bagi menjarakkan lagi jaringan gol. Malaysia kini akan berdepan Singapura dalam perlawanan separuh akhir apabila melayakkan diri setelah tewas 0-1 kepada Indonesia dan sekaligus mengenepikan cabaran Vietnam. Perlawanan separuh akhir Malaysia - Singapura akan dilangsungkan di venue yang sama pada jam 8.45 malam.
Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Khairul Izwan Khalid (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Mohd Aizuddin Othman), Mohizam Shah Dawood Shah (Ahmad Zaki Basharuddin)

Tuesday, December 16, 2008

Malaysia kekalkan barisan yang sama hadapi Thailand

Malaysia bakal menurunkan kesebelasan pemain yang sama bagi menghadapi Thailand dalam perlawanan kedua malam ini. Jurulatih negara menaruh keyakinan yang sama pada pemain-pemain yang telah menewaskan Timor Leste sebelum ini. Sekalipun ujud kebimbangan akan faktor kecederaan dan kad kuning yang mungkin mengakibatkan pemain pertahanan Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) terlepas peluang beraksi dalam separuh akhir nanti jika beliau mengutip kad kuning keduanya malam ini. Apapun, pemain-pemain telah diarahkan untuk bermain seperti biasa tanpa memikirkan faktor kekuatan dan kelemahan lawan.

Barisan kemungkinan - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Khairul Izwan Khalid, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (c), Mohizam Shah Dawood Shah

Monday, December 15, 2008

Kemenangan ke atas Thailand perlu

Malaysia akan menghadapi Thailand dengan maruah negara sebagai taruhan. Sekalipun telah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, kemenangan ke atas Thailand dalam perlawanan esok adalah perlu bagi menjuarai Kumpulan A dan seterusnya dijadualkan bertemu dengan naib juara dari Kumpulan B samada Indonesia, Singapura atau pun Vietnam. Moral para pemain adalah tinggi dan kemenangan ke atas Thailand bakal menambah keyakinan keseluruhan anggota pasukan negara untuk beraksi dalam perlawanan separuh akhir nanti.
Pasukan Malaysia bebas dari sebarang kecederaan dan dijangka menurunkan barisan pemain yang sama ketika menewaskan Timor Leste dalam perlawanan pertama semalam. Kecuali Abdul Ghani Abdul Rahman yang telah dilayangkan kad kuning, pemain-pemain lain dijangka tidak menghadapi apa-apa tekanan dan bersedia untuk menghadapi Thailand.

SUA 2008 - Malaysia 10 Timor Leste 0

Malaysia memulakan kempen Sukan Universiti ASEAN 2008 dengan kemenangan mengatasi Timor Leste 10-0. Kemenangan ini telah memberikan keyakinan kepada barisan pemain Malaysia dalam mengharungi perlawanan-perlawanan seterusnya. Para pemain Malaysia memulakan permainan dengan kurang baik dan tercari-cari rentak permainan setelah beraksi di atas padang yang licin akibat hujan pada sebelah petangnya. Gol pembukaan yang dijaringkan oleh ketua pasukan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal telah membuka ruang keyakinan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain untuk terus mematikan rentak permainan pasukan lawan.
Gol-gol lain yang dijaringkan oleh Mohizam Shah Dawood Shah, Khairul Izwan Khalid, Mohd Norhafizzuan Jailani dan Abdul Ghani Abdul Rahman membuktikan keupayaan kesemua pemain untuk menjaringkan gol dan tidak bergantung hanya kepada barisan serangan. Apapun kemenangan ini adalah kemenangan moral kepada barisan pemain negara yang bakal menghadapi saingan yang lebih sengit dalam perlawanan akan datang. Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan seterusnya pada hari Selasa 16 Disember bertempat di Kompleks Sukan Maybank, Bangi pada jam 8.30 malam, insyaAllah.
Barisan pemain - Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani (Mohd Aizuddin Othman), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Lucian Dumat (Ahmad Zaki Basharuddin), Khairul Izwan Khalid, Mohizam Shah Dawood Shah

Sunday, December 14, 2008

Malaysia bersiap sedia hadapi Timor Leste

Barisan negara sudah bersiap sedia untuk memulakan cabaran di Sukan Universiti ASEAN 2008 apabila bertemu Timor Leste dalam perlawanan pertama acara bolasepak di Kompleks Sukan Maybank, Bangi malam ini. Para pemain telah diingatkan untuk tidak mengambil sikap sambil lewa dan ambil mudah akan pasukan lawan sekalipun Timor Leste telah ditewaskan mudah oleh Thailand 4-0. Para pemain telah diarah untuk bermain seperti biasa dengan mengambilkira serta mengetahui akan kekuatan diri sendiri tanpa terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan. Pasukan negara bakal dibarisi oleh pemain-pemain utama yang telah beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
Barisan kemungkinan - Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (c), Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah, Khairul Izwan Khalid.

Friday, December 12, 2008

Mazlan Yaakob kembali bersama pasukan

Pemain pertahanan dari Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Mazlan Yaakob kini kembali ke pangkuan pasukan bagi memperkukuhkan lagi barisan pertahanan pasukan negara setelah Mohd Fadzirul Zakaria yang asalnya dipersetujui oleh pasukan Selangor untuk mewakili negara, tidak mendapat pelepasan dan telah mengalami kecederaan dalam satu siri perlawanan persahabatan di Kuala Selangor. Kecederaan yang dialami oleh Mohd Fadzirul merupakan satu tamparan hebat terhadap pasukan negara namun begitu, pihak pengurusan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan. Kehadiran Mazlan sedikit sebanyak mampu menggalas sebarang cabaran yang bakal dihadapi khususnya bagi mengisi ruang yang ditinggalkan oleh pemain pertahanan Selangor. Mazlan, sebelum ini sudah pun menjalani latihan bersama pasukan negara namun terpaksa diketepikan kerana hanya 20 pemain sahaja yang boleh disenaraikan di sepanjang temasya sukan dwi tahunan ini.

Wednesday, December 10, 2008

Malaysia panaskan badan dengan Singapura

Pasukan Malaysia akan mengadakan perlawanan memanaskan badan dengan pasukan Singapura di padang Kolej 14 Universiti Putra Malaysia pada hari Khamis, 11 Disember 2008 pada jam 5.00 petang. Perlawanan ini bakal digunakan sebaik-baiknya oleh jurulatih kedua-dua pasukan bagi menguji kemantapan pasukan sebagai persiapan terakhir menjelang perlawanan pembukaan masing-masing. Malaysia akan membuka tirai pertandingan bertemu Thailand pada 14 Disember 2008 bertempat di Kompleks Sukan Maybank pada jam 8.30 malam.

FA Selangor main tarik tali

Pengurusan pasukan bolasepak MASUM kesal dan dukacita dengan tiadanya semangat kesukanan dan patriotisma di kalangan pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor. Keputusan terbaru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk tidak melepaskan pemain pertahanan Mohd Fadzirul Zakaria untuk menyertai kem latihan pasukan negara ke Sukan Universiti ASEAN 2008 sewajarnya mengundang rasa marah dan kecewa pengurusan bolasepak MASUM. Sebelum ini pengurusan bolasepak MASUM sudah pun membuat permohonan secara bertulis dan lisan kepada pengurusan FAS bagi mendapatkan khidmat Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin, kedua-duanya penuntut di UPM. Atas dasar prihatin tentang keperluan pasukan Selangor, maka pihak pengurusan MASUM bertolak ansur untuk hanya mendapatkan seorang sahaja pemain Selangor sekalipun kedua-dua pemain tersebut bakal tampil sebagai tenaga penting dalam perancangan jurulatih negara. Insiden terbaru ini sekaligus menampakkan sikap ego dan pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan akan tugas memartabatkan nama negara. Untuk rekod, kelab-kelab seperti KL Plus FC (Reeshafiq Alwi), Felda United FC (Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan), PKNS FC (Mohizam Shah Dawood Shah), Proton FC (Mohd Norhafizzuan Jailani, Razlan Joffri Ali) dan T-Team FC (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal) telah pun melepaskan pemain-pemain mereka untuk mewakil negara ke Sukan Universiti ASEAN.

Sunday, December 7, 2008

Pasukan bercuti sempena Aidil Adha

Pasukan negara akan mula bercuti rehat selama 3 hari sempena Hari Raya Aidil Adha. Setelah mengharungi 2 minggu latihan di Kem Pemantapan yang dilangsungkan di UPM, Serdang, kini para pemain akan pulang bercuti ke kampung halaman masing-masing bagi merayakan Aidil Adha. Para pemain bersama dengan para atlet yang lain kemudiannya akan melaporkan diri di perkampungan pasukan di Hotel J.W.Marriot Putrajaya pada 9 Disember 2008 bagi memulakan persiapan menghadapi Sukan Universiti ASEAN 2008.
Pengurusan pasukan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh anggota pasukan bolasepak MASUM dan juga atlet-atlet negara yang bakal menggalas cabaran dan mengharumkan nama negara di puncak dunia. SALAM AIDIL ADHA

Saturday, December 6, 2008

Peluang Ahmad Zaki buktikan keupayaan

Ketiadaan Mohd Zaiza Zainal Abidin akibat tidak mendapat pelepasan dari pasukan Selangor memberi ruang dan peluang kepada penyerang Ahmad Zaki Basharuddin untuk membuktikan keupayaannya sebagai salah seorang pemain yang dapat memberi sumbangan bermakna kepada pasukan negara di Sukan Universiti ASEAN 2008 nanti. Penuntut dari UiTM Arau ini asalnya terpaksa diketepikan dari senarai pasukan akibat kecederaan lutut yang dialaminya. Namun hasil pemeriksaan dan imbasan yang dilakukan oleh pakar otopedik PPUM mendapati kecederaan yang dialaminya tidak serius dan membolehkan beliau untuk beraksi. Namun begitu beliau perlu melepasi ujian kecergasan yang akan dilakukan bagi membolehkan beliau tersenarai dalam senarai pasukan.

Fadzirul hadir tanpa Zaiza

Mohd Fadzirul Zakaria hadir ke kem latihan pasukan negara berseorangan tanpa seorang lagi pemain Selangor, Mohd Zaiza Zainal Abidin. Pengurusan pasukan MASUM terpaksa membuat keputusan untuk hanya menerima Mohd Fadzirul Zakaria setelah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan menyertai kem latihan pasukan yang sedang dalam persiapan terakhir menghadapi Sukan Universiti ASEAN 2008. Keengganan pengurusan bolasepak Selangor melepaskan kedua-dua pemain untuk turun menjalani latihan sedikit sebanyak mengganggu proses persiapan khusus untuk menguji keserasian gandingan pasukan di bahagian pertahanan. Pengurusan pasukan tiada pilihan lain melainkan terpaksa memilih satu daripada dua pemain pertahanan bagi membolehkan mereka menyertai kem latihan.

Wednesday, December 3, 2008

AUG 2008 - Filipina Pasukan Terbaru Menarik Diri

Acara bolasepak Sukan Universiti ASEAN 2008 kini hanya bakal menampilkan 5 negara sahaja setelah berita terkini mengesahkan Filipina sebagai negara terbaru menarik diri dari acara bolasepak. Penarikan diri Filipina kini bakal mengubah format pertandingan yang asalnya dijadualkan dalam bentuk liga 2 kumpulan kepada liga 1 kumpulan sahaja. Ini bermakna pasukan negara akan mengharungi 4 perlawanan dengan perlawanan pertama bakal menemukan Malaysia dengan Singapura dan diikuti dengan Indonesia, Thailand dan Timor Leste.
Kesemua perlawanan bagaimanapun akan kekal dijalankan di Kompleks Sukan Maybank, Bangi dan sepakmula akan dilakukan pada jam 8.30 malam. Pasukan negara bakal menghadapi tentangan dari Thailand dan Indonesia bagi melayakkan diri ke perlawanan akhir, insyaAllah. Jadual tidak rasmi setakat ini adalah seperti berikut :-
12.12.08 - Malaysia lwn Singapura
14.12.08 - Malaysia lwn Indonesia
16.12.08 - Malaysia lwn Thailand
18.12.08 - Malaysia lwn Timor Leste
20.12.08 - Perlawanan Akhir

Haris Safwan Ketua Pasukan MASUM


Dari kiri - Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Mohd Fahmi Mohamad Isa
Mohd Haris Safwan Mohd Kamal dari Universiti Malaya (UM) telah dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pasukan bolasepak negara ke Sukan Univeristi ASEAN 2008 yang dijadualkan berlangsung dari 11-21 Disember 2008. Beliau yang mewakili pasukan T-Team dalam kempen Liga Premier 2009 nanti merupakan calon yang paling sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan ini berdasarkan kepada pengalaman yang dimilikinya khusus dalam arena bolasepak kebangsaan. Sementara itu, pengurusan pasukan juga bersetuju untuk melantik Mohd Fahmi Mohamad Isa dari KLIUC selaku Penolong Ketua Pasukan. Mohd Fahmi merupakan antara pemain yang berpengalaman dan akan beraksi bersama pasukan Felda United FC dalam kempen Liga Premier 2009.

Tuesday, December 2, 2008

Senarai Akhir Pasukan ke SUA 2008

Senarai terakhir pasukan bolasepak negara ke Sukan Universiti ASEAN 2008 telah dikenalpasti dan telah diumumkan kepada para pemain dalam satu perjumpaan yang diadakan. Ketua Jurulatih, Azman Hj Eusoff telah memaklumkan senarai 20 pemain yang bakal menggalas tanggungjawab besar untuk mengibarkan cabaran negara. 2 pemain Selangor yang sebelum ini tidak mendapat pelepasan dari Persatuan Bolasepak Selangor, Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin, juga termasuk di dalam senara 20 pemain tersebut. Walaubagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut disyaratkan untuk hadir sebelum 6 Disember 2008 bagi membolehkan mereka dikekalkan. Sementara itu, pemain berpotensi, Ahmad Zaki Basharuddin terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan lutut yang agak serius manakala Mazlan Yaakob tidak disenaraikan memandangkan terlalu ramai pemain pertahanan yang dimiliki oleh skuad ini. Senarai penuh pemain adalah seperti berikut :-

1. Mohamad Fahmi Mohd Isa (KLIUC - Penjaga Gol)
2. Mohd Saiful Aswad Kamaruddin (UM - Penjaga Gol)
3. Abdul Ghani Abdul Rahman (UPM - Pertahanan)
4. Mohd Fadzirul Zakaria (UPM - Pertahanan)
5. Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim (Politeknik - Pertahanan)
6. Mohd Hasmarul Fadzir Hasan (UPM - Pertahanan)
7. Mohd Shahid Othman (UiTM - Pertahanan)
8. Mohd Zaiza Zainal Abidin (UPM - Pertahanan)
9. Razlan Joffri Ali (UPM - Pertahanan)
10. Amiro Faizal Azali (UPM - Tengah)
11. Mohd Aizuddin Othman (Politeknik - Tengah)
12. Mohd Hafiz Mohd Zaini (UniKL - Tengah)
13. Mohd Norhafizzuan Jailani (UiTM - Tengah)
14. Reeshafiq Alwi (UM - Tengah)
15. Khairul Izwan Khalid (KLIUC - Penyerang)
16. Lucian Dumat - (UPSI - Penyerang)
17. Mohd Efindy Mohamad Saleh (UM - Penyerang)
18. Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (UM - Penyerang) Ketua Pasukan
19. Mohd Syafiq Mohd Zahari (UniKL - Penyerang)
20. Mohizam Shah Dawood Shah (UPM - Penyerang)

Monday, December 1, 2008

Kem Pemantapan di UPM

Sebaik sahaja tamat Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Jemputan pada 26 November yang lalu, pasukan bolasepak MASUM terus melaporkan diri ke Kem Pemantapan yang diadakan di UPM, Serdang bermula dari 27 November 2008. Kem Pemantapan kali ini menggabungkan kesemua atlet dari semua acara yang bakal dipertandingkan di Sukan Universiti ASEAN nanti.
Aktiviti-aktiviti yang disediakan agak padat dengan acara kawad mendahului setiap sesi pada setiap hari. Tujuan kem ini adalah bagi memastikan persediaan terakhir semua acara berada pada tahap yang optima di samping acara-acara simbolik yang lain seperti penyerahan bendera kontinjen oleh Menteri Pengajian Tinggi dan juga pakaian-pakaian resmi atlet di sepanjang sukan itu nanti. Kem akan bersurai pada 6 Disember 2008 dan para atlet akan bercuti sempena dengan Hari Raya Aidil Adha dan akan kembali melaporkan diri ke perkampungan sukan di Hotel J.W. Marriot Putrajaya sehingga tamatnya Sukan Universiti ASEAN nanti.

Thursday, November 27, 2008

Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru - Negeri Sembilan 2 MASUM 0

Tirai Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Jemputan anjuran MASUM dilabuhkan dengan Negeri Sembilan muncul juara setelah menewaskan MASUM 2-0. Pasukan MASUM bermain dengan baik dalam separuh masa pertama dengan perlawanan amat seimbang dengan kedua-dua pasukan sering mengkucar-kacirkan barisan pertahanan masing-masing. Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) yang mengetuai barisan pertahanan MASUM beraksi cemerlang. Pasukan juga diperkuatkan dengan kehadiran ketua pasukan, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal. Beberapa peluang yang diperolehi gagal dimanafaatkan. Kelincahan Luciat Dumat di sebelah kiri dan kerja keras Mohd Shafiq Mohd Zahari jelas memberi masalah kepada barisan pertahanan Negeri Sembilan. Namun kealpaan barisan pertahanan MASUM memberi gol pertama apabila dari satu sepakan percuma di sebelah kanan gol gagal ditanduk mahupun dikeluarkan oleh pasukan MASUM dan ditanduk mudah untuk gol pertama. MASUM gagal mengekalkan rentak permainan yang baik dalam separuh masa kedua sebaliknya lebih bertindak aggresif ke atas pemain lawan. Akibatnya pasukan Negeri Sembilan lebih fokus dan berterusan memberi tekanan dan akhirnya berjaya memperolehi gol kedua.
MASUM - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hasan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Mohd Efindy Mohd Salleh (Mohizam Shah Dawood Shah), Lucian Dumat, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Mohd Shafiq Mohd Zahari

Tuesday, November 25, 2008

Kejohanan 4 Penjuru Jemputan - KL Plus FC 0 MASUM 2

Pasukan MASUM mengekalkan rentak permainan yang konsisten dalam perlawanan kedua siri Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru yang berlangsung petang semalam di Kompleks Sukan UPM, Serdang. Dua gol jaringan pemain penyerang, Mohizam Shah Dawood Shah telah membantu pasukan negara mengutip 3 mata penuh dan meletakkan pasukan MASUM di tangga teratas di kalangan 4 pasukan. Gol pertama MASUM dijaringkan pada minit ke 37 manakala gol kedua hadir pada minit ke 59. Kemenangan mengatasi KL Plus FC ini telah membantu meningkatkan moral dan keyakinan pemain di saat pasukan sedang dalam persiapan terakhir menjelang Sukan Universiti ASEAN 2008.
Barisan pertahanan yang diketuai oleh Abdul Ghani Abdul Rahman menampakkan peningkatan dengan persefahaman yang baik bersama pemain yang lain. Ketangkasan penjaga gol, Mohamad Fahmi Mohd Isa (gambar) juga berjaya membantu meningkatkan keyakinan pasukan khususnya apabila mampu menyelamatkan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada pasukan lawan. Namun begitu, kesempatan yang diberikan kepada Mohd Syafiq Mohd Zahari setelah ketiadaan penyerang Khairul Izwan Khalid akibat kecederaan, dimanafaatkan sebaiknya. Pasukan MASUM akan menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan terakhir malam esok.

MASUM - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Mohd Norhafizzuan Jailani, Amiro Faizal Azali (Reeshafiq Alwi), Mohd Shafiq Mohd Zahari, Mohd Efindy Mohd Saleh (Mohd Haris Safuan Mohd Kamal), Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah

Sunday, November 23, 2008

Kejohanan 4 Penjuru Jemputan - Kuala Lumpur 1 MASUM 1

Pasukan negara memulakan kempen pertandingan bolasepak 4 Penjuru Jemputan MASUM dengan mengutip 1 mata selepas seri dengan Kuala Lumpur 1-1. Perlawanan dilangsungkan di padang Kompleks Sukan UPM, Serdang. Gol pelawat di jaringkan pada minit ke 37 selepas pemain pertahanan MASUM gagal mengeluarkan bola dalam kawasan bahaya di hadapan pintu gol. Kelemahan itu diambil kesempatan sebaiknya untuk menjaringkan gol pertama Kuala Lumpur. MASUM menyamakan kedudukan hasil rembakan kencang dari jarak 20 meter oleh penyerangnya Lucian Dumat (gambar) pada minit ke 83. MASUM nyaris menjaringkan gol kedua setelah satu percubaan dari jarak yang sama yang dilakukan oleh Reeshafiq Alwi hasil umpanan ketua pasukan, Mohizam Shah Dawood Shah, hanya mampu mencecah luar jaring gol. Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.
MASUM - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Razlan Joffri Ali, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim (Mohd Hasmarul Fadzir Hasan), Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Hafiz Mohd Zaini (Mohd Norhafizzuan Jailani), Mohd Shafiq Mohd Zahari, Mohd Efindy Mohd Saleh (Amiro Faizal Azali), Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah.

Saturday, November 22, 2008

Kejohanan 4 Penjuru Jemputan MASUM


Dari kiri - Mohd Shafiq Mohd Zahari & Mohizam Shah Dawood Shah

Pasukan negara yang dalam rangka persiapan menghadapi Sukan Universiti ASEAN 2008 berpeluang mengukur tahap persiapan pasukan dalam Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru ASEAN yang dijadualkan bermula petang ini (22 November 2008) di Kompleks Sukan UPM. Ketua Jurulatih, Azman Hj Eusoff berpeluang menguji gandingan pasukan dalam perlawanan pertama menentang Kuala Lumpur. Ketiadaan 2 pemain pertahanan berpengalaman, Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin yang tidak mendapat pelepasan dari pasukan Selangor sedikit sebanyak menjejaskan persiapan terakhir pasukan. Pada perlawanan sulung malam ini, MASUM bakal menurunkan gandingan Abdul Ghani Abdul Rahman dan Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim bagi mengemudi barisan pertahanan. Kehadiran Reeshafiq Alwi yang dilepaskan oleh kelabnya, KL Plus FC, jelas memberi suntikan keyakinan bagi menggalas cabaran pertama pada malam ini.

Barisan serangan bakal menyaksikan gandingan Mohizam Shah Dawood Shah dan Mohd Shafiq Mohd Zahari setelah ketiadaan ketua pasukan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal kerana mewakili kelab T-Team dalam pertandingan Pra Musim dan Khairul Izwan Khalid yang mengalami kecederaan.

Friday, November 21, 2008

Kecederaan - Keresahan yang menjadi nyata


dari kiri - Mohd Fadzirul Zakaria, Mohd Zaiza Zainal Abidin, Khairul Izwan Khalid & Ahmad Zaki Basharuddin

Keresahan ketua jurulatih tentang situasi semasa para pemain sebaik melaporkan diri ke kem latihan sememangnya menjadi kenyataan. Situasi ini jelas menambah kerisauan dalam kem pasukan apabila Ahmad Zaki Basharuddin, Khairul Izwan Khalid, Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin mengalami kecederaan sewaktu menjalani latihan dan mewakili pasukan masing masing. Ahmad Zaki mengalami kecederaan "miniscus", Khairul Izwan pula mengalami kecederaan di bibirnya selepas bertembung dengan penjaga gol Selangor dalam pertandingan Pra Musim anjuran Felda United FC manakala Mohd Fadzirul dan Mohd Zaiza mengalami kecederaan "groin" yang agak serius. Kecederaan Mohd Fadzirul dan Mohd Zaiza meletakkan situasi mereka dalam keadaan yang agak merumitkan apabila majikan mereka, Persatuan Bolasepak Selangor enggan melepaskan kedua pemain berkenaan untuk beraksi bersama pasukan MASUM sebaliknya bertegas mengikat mereka untuk menjalani rawatan pemulihan bersama pasukan Selangor. Keadaan ini menambah kebimbangan apabila bahagian pertahanan yang sebelum ini begitu ampuh kini kelihatan agak goyah. Namun begitu, kecederaan yang dialami oleh penyerang Khairul Izwan dan Ahmad Zaki sedikit sebanyak melegakan barisan kejurulatihan kerana mereka dijangka pulih dalam masa 1 minggu dan seharusnya bersedia untuk mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN (SUA) nanti, insyaAllah

Monday, November 17, 2008

Fadzirul Sembuh, Zaiza Ccedera


Berita baik yang diterima tentang kembalinya Mohd Fadzirul Zakaria dari kecederaan tumitnya seharusnya disambut dengan penuh kelegaan oleh barisan kejurulatihan. Kewibawaan pemain pertahanan yang mewakili pasukan Selangor dalam Liga Super 2009 ini sudah tentu bakal kembali memantapkan barisan pertahanan MASUM. Namun begitu, keceriaan ini tidak berpanjangan apabila seorang lagi pemain pertahanan yang "versatile", Mohd Zaiza Zainal Abidin yang juga rakan sepasukan Mohd Fadzirul mengalami kecederaan peha yang agak serius. Kecederaan yang dialaminya sewaktu menjalani latihan bersama pasukan Selangor hadir pada waktu yang agak kritikal tatkala pasukan akan menghadapi Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru yang dijadualkan bermula pada 22 November nanti. Apapun, situasi beliau akan dipantau dan akan dikenalpasti sebaik sahaja para pelatih mula melaporkan diri pada 18 November nanti, insyaAllah.

Sunday, November 16, 2008

Latihan Fasa Akhir - Kem Pemantapan

Para pelatih pasukan bolasepak negara akan mula melaporkan diri ke kem latihan mulai 18 November 2008 di Kolej 12, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. Seramai 22 pelatih yang telah dikenalpasti sebelum ini akan memulakan latihan fasa akhir sebelum melaporkan diri ke Kem Pemantapan. Latihan di peringkat ini juga adalah kritikal kerana bakal menentukan senarai terakhir pasukan yang akan mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN (SUA) ke 14 nanti.
Sesetengah pelatih yang sedang menghadapi peperiksaan pula berkemungkinan melaporkan diri selewat-lewatnya pada 19 November. Adalah diharapkan semua pelatih akan hadir dengan tahap kecergasan yang tinggi setelah berehat panjang sekembalinya dari lawatan pendedahan di Bangkok pada bulan Oktober lepas. Di samping itu, pemain-pemain yang sedang menjalani latihan bersama kelab dan pasukan yang akan beraksi dalam Liga Malaysia 2009 juga diharapkan hadir tanpa sebarang kecederaan.
Sebaik sahaja menamatkan Kejohanan 4 Penjuru Jemputan pasukan negara akan terus melaporkan diri ke Kem Pemantapan dan seterusnya pada 9 Disember 2008, keseleruhan anggota pasukan bersama kontinjen negara akan masuk ke perkampungan sukan negara di Hotel J.W.Marriot Putrajaya.

Kejohanan 4 Penjuru Jemputan



Pasukan bolasepak negara akan terus menguji dan mengenalpasti kekuatan pasukan dalam Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Jemputan yang dijadualkan dari 22 hingga 26 November 2008 nanti. Kejohanan ini yang dianjurkan oleh MASUM bertujuan bagi memastikan tahap persiapan pasukan di samping menguji keberkesanan pasukan teknikal Jawatankuasa Penganjur SUA 2008.

Pertandingan ini dijadualkan berlangsung di 2 venue kejohanan iaitu Kompleks Sukan Maybank dan Kompleks Sukan Petronas, Bangi. Pasukan-pasukan yang telah dijemput untuk menyertai kejohanan ini ialah Kuala Lumpur, KL Plus FC dan Negeri Sembilan di samping MASUM sebagai pasukan tuan rumah. Apapun yang merisaukan Ketua Jurulatih menjelang pertandingan ini ialah tahap kecergasan pemain-pemain yang telah berehat panjang setelah kembali dari lawatan pendedahan ke Bangkok, Thailand di samping penglibatan sebilangan besar pemain bersama pasukan dan kelab masing-masing dalam Pertandingan Pra Musim anjuran Felda United FC. Jika diambil kita faktor pemain yang terlibat, hampir semua pemain utama MASUM beraksi dalam pasukan-pasukan yang terlibat. Apapun adalah diharapkan pemain-pemain ini akan mendapat pelepasan dari pasukan dan kelab masing-masing demi negara, insyaAllah.

Friday, November 14, 2008

Perlawanan Pendedahan 3 - Coke Bangpra FC 1 MASUM 0

Pasukan negara mengakhiri lawatan pendedahan ke Bangkok dengan kekalahan tipis 0-1 kepada sebuah lagi kelab Liga Premier Thailand, Coke-Bangpra FC. Gol kemenangan pasukan lawan dijaringkan pada minit ke 89. Sekalipun hujan lebat yang turun 2 jam sebelum perlawanan dilangsungkan membuatkan padang permainan agak berat dan becak, namun kedua-dua pasukan masih mampu mempamerkan corak pemainan yang pantas dan menarik dengan keupayaan saling membalas serangan. Apapun ternyata pasukan lawan ternyata lebih mantap dari sudut teknikal.

Namun begitu pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan yang mampu mengekang setiap asakan lawan dengan tenang. Secara keseluruhannya, pihak kejurulatihan berpuas hati dengan hasil yang diperolehi dari lawatan pendedahan ini dan amat yakin beberapa aspek kekuatan dan kelemahan pasukan akan dapat dikemaskinikan menjelang SUA 2008 Disember nanti, insyaAllah.
MASUM - Mohd Saiful Aswad Kamaruddin, Mohd Zaiza Zainal Abidin, Mazlan Yaakob, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Aizuddin Othman, Khairul Izwan Khalid, Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal), Lucian Dumat, Amiro Faizal Azali (Mohd Shafiq Mohd Zahari)

Perlawanan Pendedahan 2 - Chula Sinthana FC 5 MASUM 0

MASUM meneruskan lawatan pendedahan ke Bangkok dengan bermain menentang pasukan Liga Premier Thailand, Chula-Sinthana FC di Stadium Universiti Chulanglongkorn yang dilatih oleh legenda bolasepak Thailand, Kiatisuk Senamuang (Zico). Pasukan negara membuat sedikit rombakan dengan menurunkan Razlan Joffri Ali di sebelah kanan bagi menggantikan Abdul Ghani Abdul Rahman yang cedera dalam perlawanan pertama menentang Wilayah Phichit. Bermain di atas padang sintetik jelas memberi kesukaran kepada pemain-pemain negara dalam mengawal kelajuan dan lantunan bola. Pasukan negara ketinggalan 0-1 dalam separuh masa pertama hasil tandukan cantik penyerang pasukan lawan selepas menerima hantaran silang dari sebelah kiri gol.
MASUM ketinggalan lagi dalam separuh masa kedua setelah bek kiri, Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti dan telah dilayangkan kad merah. Pasukan negara terpaksa meneruskan permainan dengan hanya 10 orang pemain dalam baki 40 minit perlawanan. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh pasukan lawan dengan menambahkan 3 gol lagi dan menjadikan keputusan penuh perlawanan kedua ini Chula-Sinthana FC 5 MASUM 0.
MASUM - Muhamad Fahmi Mohd Isa, Razlan Joffri Ali, Mohd Hasmarul Fadzir Hasan (Mohd Zaiza Zainal Abidin), Mazlan Yaakob, Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim, Mohd Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani (Mohd Aizuddin Othman), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Khairul Izwan Khalid), Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Shahid Othman), Lucian Dumat, Ahmad Zaki Basharuddin

Perlawanan Pendedahan 1 - Wilayah Phichit 1 MASUM 1

Pasukan negara perlu mengharungi 7 jam (370km) perjalanan dari kotaraya Bangkok untuk sampai ke Wilayah Phichit yang terletak di utara Thailand. Dalam perlawanan pertama ini pasukan negara telah seri 1-1 hasil jaringan ketua pasukan, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal dalam separuh masa kedua. Pasukan lawan nyata memiliki kelebihan dari sudut teknikal namun begitu pasukan negara yang beraksi dengan disiplin dan berorientasikan taktikal mampu mengekang pergerakan-pergerakan lawan.
Pasukan lawan mendahului pada minit ke 69 hasil kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan. Akibat berlaku salah faham, pemain lawan telah mengambil kesempatan untuk menghukum pasukan negara. Ketinggalan 0-1 tidak melemahkan semangat para pemain sebaliknya dengan komitmen yang tinggi telah mampu menyamakan kedudukan.
MASUM - Mohd Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman (Razlan Joffri Ali), Mohd Hasmarul Fadzir Hasan, Mohd Zaiza Zainal Abidin (Mazlan Yaakob), Mohd Shahid Othman (Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim), Mohd Norhafizzuan Jailani, Amiro Faizal Azali (Reeshafiq Alwi), Khairul Izwan Khalid (Mohizam Shah Dawood Shah), Lucian Dumat, Mohd Syafiq Mohd Zahari (Ahmad Zaki Basharuddin)

Lawatan Pendedahan di Bangkok, Thailand

Pasukan negara yang telah mengadakan lawatan pendedahan dan beberapa siri perlawanan persahabatan ke Bangkok, Thailand baru-baru ini telah berpeluang menguji kemantapan pasukan melalui 3 perlawanan persahabatan yang telah diatur hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Thailand (FAT). FAT telah mendapatkan 2 buah kelab yang beraksi dalam Liga Profesional Thailand iaitu Chula-Sinthana FC dan Coke-Bangpra FC manakala satu lagi lawan ialah Wilayah Phichit yang juga merupakan juara Liga Antara Wilayah Thailand.

Lawatan pendedahan ini merupakan strategi serampang dua mata yang diilhamkan oleh Pengurus Pasukan dan barisan kejurulatihan untuk mendedahkan pemain dan pasukan dengan corak permainan pasukan dari Thailand yang dilihat sebagai pencabar utama di SUA 2008 nanti. Chula-Sinthana FC merupakan kelab yang diwakili oleh sebahagian besar penuntut dari Universiti Chulalongkorn yang bakal hadir sebagai wakil negara Thai. Selain dari itu ianya bermatlamat mendedahkan para pemain bagi memantapkan persefahaman serta mendapatkan keserasian di kalangan setiap anggota pasukan. Adalah menjadi harapan agar initiatif yang diambil ini dengan kerjasama Unit Penyediaan Atlet (UPA) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) akan memberi pulangan yang setimpal, insyaAllah.



Thursday, November 13, 2008

Reeshafiq Alwi bakal mantapkan pasukan MASUM

Kehadiran pemain tengah berpengalaman yang beraksi untuk KL Plus FC dari UM, Reeshafiq Alwi bagi menyertai latihan pasukan pada peringkat ini dilihat bakal memantapkan lagi pasukan MASUM, khususnya di bahagian tengah. Kehadiran pemain ini adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Penolong Ketua Pasukan, Mohd Fadzirul Zakaria yang mengalami kecederaan keretakan tumit sewaktu perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur.

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain ini dilihat sebagai satu aset penting untuk mengemudi bahagian tengah pasukan yang jelas masih tercari-cari akan perancang efektif dalam menggerakkan serangan pasukan. Ia juga bakal menjadi pembimbing kepada barisan pemain muda yang terdapat di dalam pasukan ini, insyaAllah.

Wednesday, November 12, 2008

Kecederaan Fadzirul Satu Tamparan Awal

Kecederaan yang dialami oleh tonggak pertahanan yang juga Penolong Ketua Pasukan, Mohd Fadzirul Zakaria dalam satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Kuala Lumpur, menjadi satu tamparan awal kepada pasukan bolasepak negara yang sedang dalam mempersiapkan diri untuk SUA 2008. Kecederaan yang dialami akibat kemalangan jalanraya sebelum itu telah berulang sewaktu perlawanan tersebut dalam satu perebutan bola dengan pemain lawan. Kecederaan tersebut agak serius (keretakan di bahagian tumit kaki kanan) dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 2 bulan untuk pulih sepenuhnya.

Pengurusan pasukan perlu segera mengenalpasti calon pemain yang layak untuk mengisi kekosongan tersebut bagi digandingkan dengan pemain tinggi lampai, Mohd Hasmarul Fadzir Hasan yang setakat ini telah berjaya mempamerkan aksi yang konsisten. Gandingan Hasmarul-Fadzirul yang diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini jelas menunjukkan persefahaman yang baik namun situasi ini memberikan peluang terbaik antara Mohd Zaiza Zainal Abidin dan Abdul Ghani Abdul Rahman serta Mazlan Yaakob untuk membuktikan kemampuan mereka. Siapapun juga yang bakal mengisi kekosongan tersebut, diharapkan mampu mengekalkan kemantapan di bahagian pertahanan dan lawatan pendedahan di Bangkok nanti adalah medan terbaik untuk menguji keserasian gandingan baru ini.

Lawatan Pendedahan Ke Bangkok, Thailand

Setelah gagal mengunjungi Indonesia sebagai persiapan menghadapi SUA 2008, kini pasukan negara harus merasa lega kerana berpeluang menguji kemantapan pasukan di Bangkok, Thailand. Dalam masa yang amat singkat, pengurusan pasukan terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan segala persiapan dan keperluan dapat diatur dan dilaksanakan dengan jayanya.
Pasukan bolasepak negara akan berlepas ke Bangkok, Thailand dalam siri lawatan pendedahan bermula dari 18 hingga 23 Oktober, 2008. Seramai 4 pegawai dan 20 pemain akan mengikuti lawatan pendedahan ini yang bakal menyaksikan pasukan negara menguji kemantapan bersama 3 kelab elit dalam Liga Premier Thailand. Dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Thailand, 3 kelab telah bersetuju untuk menerima kunjungan pasukan kita. Pasukan-pasukan tersebut ialah Wilayah Phichit, Chula-Sintana FC dan Coke-Bangpra FC.

Senarai Pelatih Yang Terpilih ke Fasa Akhir

Seramai 22 orang pelatih telah dikenalpasti untuk menjalani latihan fasa akhir. Pemilihan telah dibuat dengan teliti dengan mengambilkira pelbagai aspek yang mampu menterjemahkan ke arah pembentukan sebuah pasukan yang mantap bagi menggalas cabaran dan amanah yang telah diserahkan kepada pasukan bolasepak negara. Pelatih-pelatih yang terpilih adalah :-

1. Muhamad Fahmi Mohd Isa - KLIUC (Penjaga Gol)
2. Mohd Saiful Aswad Kamaruddin - UM (Penjaga Gol)
3. Abdul Ghani Abdul Rahman - UPM (Pertahanan)
4. Mazlan Yaakob - UTEM (Pertahanan)
5. Mohd Fadzirul Zakaria - UPM (Pertahanan)
6. Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim - Politeknik (Pertahanan)
7. Mohd Hasmarul Fadzir Hassan - UPM (Pertahanan)
8. Mohd Shahid Othman - UiTM (Pertahanan)
9. Mohd Zaiza Zainal Abidin - UPM (Pertahanan)
10. Razlan Joffri Ali - UPM (Pertahanan)
11. Amiro Faizal Azali - UPM (Tengah)
12. Lucian Dumat - UPSI (Tengah)
13. Mohd Aizuddin Othman - Politeknik (Tengah)
14. Mohd Hafiz Mohd Zaini - UniKL (Tengah)
15. Mohd Norhafizzuan Jailani - UiTM (Tengah)
16. Reeshafiq Alwi - UM (Tengah)
17. Ahmad Zaki Basharuddin - UiTM (Penyerang)
18. Khairul Izwan Khalid - KLIUC (Penyerang)
19. Mohd Efindy Mohd Salleh - UM (Penyerang)
20. Mohd Haris Safwan Mohd Kamal - UM (Penyerang)
21. Mohd Syafiq Mohd Zahari - UniKL (Penyerang)
22. Mohizam Shah Dawood Shah - UM (Penyerang)

Pandangan Jurulatih Terhadap Pasukan

Jika dinilai kualiti pemain secara individu, pasukan negara punya potensi yang cerah. Sebilangan besar pemain yang dipilih untuk menyertai latihan pemilihan ini adalah terdiri daripada kalangan pemain yang sudah beraksi di peringkat tertinggi liga bolasepak MALAYSIA (Liga M). Dalam konteks ini sudah tentu mereka boleh dianggap berpengalaman pada tahap yang kompetitif. Apapun masih terlalu awal untuk mentafsirkan kekuatan pasukan negara pada peringkat ini kerana mereka belum lagi diuji. Adalah difahamkan bahawa ini merupakan kali pertama pasukan ini diadun dari kalangan pemain-pemain yang hadir dari IPT yang berbeza sekalipun majoriti daripada mereka adalah dari IPT di sekitar Lembah Klang.

Apapun saya amat kagum dengan semangat dan sikap yang ditunjukkan oleh para pemain yang terpilih untuk membentu sebuah pasukan kebangsaan yang mantap. Pemain-pemain seperti Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (UM-UPB/MyTeam), Abdul Ghani Abdul Rahman (UM-Selangor), Mohd Fadzirul Zakaria (UM-Selangor), Khairul Izwan Khalid (KLIUC-Felda United), Mohd Hasmarul Fadzir Hassan (UPM-Kuala Lumpur) dan Mohizam Shah Dawood Shah (UPM-PKNS) telah menunjukkan sikap dan semangat yang dihormati dan seharusnya menjadi contoh kepada pemain-pemain lain dalam menyumbang ke arah mengharumkan nama negara yang dicintai.

Dari sudut permainan, jelas bahagian serangan dan pertahanan memerlukan tumpuan yang lebih khusus. Ini adalah kerana pemain-pemain yang sedia ada belum mampu menjelmakan persefahaman (pertahanan) dan ketajaman (penyerang) dan tempoh yang ada akan dimanafaatkan sebaiknya untuk memperbaiki prestasi mereka. Sementara itu di bahagian tengah memberi harapan yang positif berapa mereka mampu mengemudi dengan baik. Walaubagaimanapun dengan program yang diatur adalah menjadi harapan agar ianya akan dapat digunakan pada tahap yang optima untuk meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan dalam usaha MALAYSIA mencari kejayaan sulung di Kuala Lumpur nanti, insyaAllah.

Visi dan Harapan Pengurus Pasukan

Sebagai Pengurus Pasukan yang diamanahkan oleh pihak MASUM sudah tentu saya meletakkan harapan agar pasukan ini mampu mencipta kejayaan menjuarai pertandingan ini buat julung kalinya. Dengan barisan kejurulatihan yang gigih dan komited, saya amat yakin matlamat ini mampu dicapai. Saya amat kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelatih sehingga tahap ini kerana telah memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam usaha kita untuk melonjakkan nama MALAYSIA di kalangan penggiat sukan di universiti-universiti seluruh ASEAN.

Apapun tiada kejayaan yang datang dengan mudah tanpa usaha. Terlalu banyak halangan dan kekangan yang perlu ditempuhi khususnya faktor waktu untuk para pelatih memberi sepenuh tumpuan terhadap latihan tetapi dalam masa yang sama perlu memberi perhatian terhadap kuliah mereka. Namun begitu kegigihan dan semangat positif yang ditunjukkan oleh setiap anggota pasukan telah memberi kelegaan dan keyakinan bahawa matlamat ini mampu dicapai. Saya amat yakin dengan segala perancangan yang telah diatur oleh barisan kejurulatihan akan dapat membuahkan hasilnya nanti, insyaAllah. Kepada setiap anggota pasukan MALAYSIA ke SUA 2008, salam perjuangan dari saya.

Matlamat Pasukan Bolasepak MASUM

Sebagai tuan rumah kepada Sukan Universiti ASEAN XIV 2008, sudah tentu matlamat utama setiap anggota pasukan bolasepak MASUM, samada pemain mahu pun jurulatih dan pihak pengurusan serta MASUM sendiri, kami bertekad untuk membawa kejayaan kepada seluruh warga universiti serta rakyat Malaysia keseluruhannya. Kejayaan ini bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri bukan sahaja untuk warga universiti malahan kepada seluruh peminat, pencinta dan mereka yang menyanjung sukan bolasepak tanahair yang dahagakan kejayaan.
Sejarah memaparkan betapa bolasepak merupakan acara terulung dalam setiap pertandingan atau pun karnival sukan dan di Sukan Universiti ASEAN (SUA) 2008, perkara ini tidak terkecuali. Andai pasukan bolasepak negara gagal mencapai kejayaan maka kontinjen negara juga akan dianggap tewas secara keseluruhannya sekalipun mampu merangkul pingat emas tertinggi. Begitulah tingginya harapan yang diletakkan kepada pasukan bolasepak negara dalam SUA 2008 ini nanti. Untuk itu, seluruh anggota pasukan negara, baik pemain mahupun pegawai perlu berikrar untuk memberikan yang terbaik disusuli dengan tekad dan keazaman yang tinggi berserta komitmen dan kesungguhan yang padu bagi memastikan juara bolasepak menjadi milik MALAYSIA.
Kepada seluruh warga Malaysia amnya dan warga universiti khususnya, hulurkanlah sokongan padu kepada pasukan bolasepak negara dan mudah-mudahan dengan berkat doa semua, kejayaan akan menjadi milik kita, insyaALLAH.

Menjulang Malaysia Di Persada Dunia

Selamat Datang ke laman web tidak rasmi pasukan bolasepak Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) ke Sukan Universiti ASEAN (SUA) ke XIV 2008.

Laman web ini memaparkan segala laporan dan aktiviti-aktiviti pasukan bolasepak MASUM yang sedang dalam rangka persiapan bagi menghadapi SUA 2008. Selain dari itu ianya juga menyiarkan individu-individu yang terlibat sebagai pegawai dan pemain yang menganggotai pasukan negara ke kejohanan dwi tahunan ini.