Sunday, December 21, 2008

Final SUA 2008 - Malaysia 0 Thailand 1

Malaysia gagal mencapai hasrat untuk menggongol pingat emas pertama mereka dalam acara bolasepak selepas tewas kepada Thailand 0-1. Gol Thailand yang dijaringkan seawal minit ke-9 telah membolehkan pasukan pelawat memperolehi keyakinan yang diperlukan. Pasukan negara bermain dengan baik dan mengatur banyak serangan khusus dalam separuh masa kedua tetapi gagal mencipta ruang untuk menjaringkan gol. Beberapa peluang yang diperolehi oleh pemain-pemain negara gagal dimanafaatkan.
Kemasukan Khairul Izwan Khalid dan Mohd Syafiq Mohd Zahari bagi menggantikan Ahmad Zaki Basharuddin dan Mohizam Shah Dawood Shah dalam separuh masa kedua sedikit sebanyak merubah rentak permainan, namun begitu dalam situasi kritikal untuk mendapatkan gol penyamaan, ianya gagal dimainkan oleh barisan negara. Apapun Malaysia redha dengan hanya sekadar memperolehi pingat perak dalam temasya SukanUniversiti ASEAN XIV Kuala Lumpur 2008 ini.
Barisan pemain - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Ahmad Zaki Basharuddin (Khairul Izwan Khalid), Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal.

Friday, December 19, 2008

Malaysia ke Final - Sejarah baru tercipta!

Kejayaan pasukan bolasepak negara ke final Sukan Universiti ASEAN 2008 telah mencipta sejarah baru untuk pasukan itu sendiri mahupun kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang menaungi sukan bolasepak universiti. Sejak pembabitan negara dalam kejohanan dwi tahunan berkenaan, ini merupakan kali pertama Malaysia melangkah ke perlawanan akhir. Pencapaian terbaik negara ialah apabila melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir dalam kejohanan di Surabaya, Indonesia pada tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia.
Pencapaian ini seterusnya mendorong para pemain untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan sejarah tercipta sebagai barisan pertama negara yang memenangi pingat emas dalam kejohanan Sukan Universiti ASEAN. Sekalipun beraksi dalam pentas yang berbeza, para pemain berazam untuk memberikan persembahan terbaik demi mengembalikan keyakinan dan maruah bolasepak negara di persada dunia, insyaAllah.

SUA 2008 - Malaysia 1 Singapura 0

Malaysia mencipta sejarah untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir acara bolasepak dalam Sukan Universiti ASEAN 2008 setelah menewaskan Singapura 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Kompleks Sukan Maybank, Bangi. Kehadiran ribuan para penyokong pasukan negara untuk memberi sokongan kepada para pemain jelas membangkitkan semangat. Malaysia membuat rombakan kecil dengan menyenaraikan Mohd Shafiq Mohd Zahari dalam kesebelasan utama menggantikan Luciat Dumat namun percaturan tersebut tidak mendatangkan hasil yang diharapkan sebaliknya Mohd Shafiq kelihatan gugup dalam penampilan sulongnya dalam kesebelasan utama. Khairul Izwan Khalid (gambar) menjaringkan gol kemenangan Malaysia hasil umpanan Mohizam Shah Dawood Shah pada minit ke 40.
Singapura tampak lebih tersusun berbanding pasukan negara yang kelihatan goyah namun ketangkasan penjaga gol, Mohamad Fahmi Mohd Isa berjaya menyelematkan beberapa percubaan bahaya yang dilakukan oleh pasukan Singapura. Malaysia memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menambah bilangan gol malangnya gagal disempurnakan oleh barisan penyerang negara. Malaysia kini dijadualkan bertemu Thailand dalam perlawanan akhir, insyaAllah.

Thursday, December 18, 2008

Malaysia waspada hadapi Singapura

Malaysia akan menghadapi Singapura malam ini dengan pendekatan yang berhati-hati. Ini perlu memandangkan Singapura adalah pasukan underdog yang telah melayakkan diri mengenepikan cabaran Vietnam. Malaysia akan menurunkan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Thailand sekaligus diharap mampu mengekalkan konsistensi permainan. Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang sesuai ketika menghadapi Singapura kerana dalam dua perlawanan sebelumnya, Singapura telah menggunakan permainan bertahan dan hanya menggunakan kaedah 'counter attack' menerusi seorang sahaja pemain penyerang. Apapun, adalah diharapkan barisan negara mampu menangani situasi ini dan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan dan pengalaman mereka untuk menghasilkan kemenangan dalam usaha mengukir sejarah melayakkan diri ke perlawanan akhir, insyaAllah.
Barisan kemungkinan - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Khairul Izwan Khalid

Wednesday, December 17, 2008

SUA 2008 - Malaysia 1 Thailand 0

Malaysia melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan bermakna setelah menewaskan musuh tradisi, Thailand 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Kompleks Sukan Maybank, Bangi malam tadi. Kehadiran hampir 3000 penyokong pasukan negara menyemarakkan lagi pasukan Malaysia dalam menghadapi Thailand. Gol cantik jaringan Mohizam Shah Dawood Shah (gambar) pada minit ke 60 menggegarkan Kompleks Sukan Maybank. Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang dan memperolehi peluang yang seimbang untuk menjaringkan gol.
Thailand bagaimanapun memiliki keupayaan teknikal yang baik berbanding Malaysia namun begitu kesungguhan dan kemampuan menggunakan ruang yang hadir untuk menjaringkan gol ternyata memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan. Ketua pasukan, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal memperolehi 2 peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun peluang itu dipersiakan bagi menjarakkan lagi jaringan gol. Malaysia kini akan berdepan Singapura dalam perlawanan separuh akhir apabila melayakkan diri setelah tewas 0-1 kepada Indonesia dan sekaligus mengenepikan cabaran Vietnam. Perlawanan separuh akhir Malaysia - Singapura akan dilangsungkan di venue yang sama pada jam 8.45 malam.
Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Khairul Izwan Khalid (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Mohd Aizuddin Othman), Mohizam Shah Dawood Shah (Ahmad Zaki Basharuddin)

Tuesday, December 16, 2008

Malaysia kekalkan barisan yang sama hadapi Thailand

Malaysia bakal menurunkan kesebelasan pemain yang sama bagi menghadapi Thailand dalam perlawanan kedua malam ini. Jurulatih negara menaruh keyakinan yang sama pada pemain-pemain yang telah menewaskan Timor Leste sebelum ini. Sekalipun ujud kebimbangan akan faktor kecederaan dan kad kuning yang mungkin mengakibatkan pemain pertahanan Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) terlepas peluang beraksi dalam separuh akhir nanti jika beliau mengutip kad kuning keduanya malam ini. Apapun, pemain-pemain telah diarahkan untuk bermain seperti biasa tanpa memikirkan faktor kekuatan dan kelemahan lawan.

Barisan kemungkinan - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Khairul Izwan Khalid, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (c), Mohizam Shah Dawood Shah

Monday, December 15, 2008

Kemenangan ke atas Thailand perlu

Malaysia akan menghadapi Thailand dengan maruah negara sebagai taruhan. Sekalipun telah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, kemenangan ke atas Thailand dalam perlawanan esok adalah perlu bagi menjuarai Kumpulan A dan seterusnya dijadualkan bertemu dengan naib juara dari Kumpulan B samada Indonesia, Singapura atau pun Vietnam. Moral para pemain adalah tinggi dan kemenangan ke atas Thailand bakal menambah keyakinan keseluruhan anggota pasukan negara untuk beraksi dalam perlawanan separuh akhir nanti.
Pasukan Malaysia bebas dari sebarang kecederaan dan dijangka menurunkan barisan pemain yang sama ketika menewaskan Timor Leste dalam perlawanan pertama semalam. Kecuali Abdul Ghani Abdul Rahman yang telah dilayangkan kad kuning, pemain-pemain lain dijangka tidak menghadapi apa-apa tekanan dan bersedia untuk menghadapi Thailand.

SUA 2008 - Malaysia 10 Timor Leste 0

Malaysia memulakan kempen Sukan Universiti ASEAN 2008 dengan kemenangan mengatasi Timor Leste 10-0. Kemenangan ini telah memberikan keyakinan kepada barisan pemain Malaysia dalam mengharungi perlawanan-perlawanan seterusnya. Para pemain Malaysia memulakan permainan dengan kurang baik dan tercari-cari rentak permainan setelah beraksi di atas padang yang licin akibat hujan pada sebelah petangnya. Gol pembukaan yang dijaringkan oleh ketua pasukan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal telah membuka ruang keyakinan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain untuk terus mematikan rentak permainan pasukan lawan.
Gol-gol lain yang dijaringkan oleh Mohizam Shah Dawood Shah, Khairul Izwan Khalid, Mohd Norhafizzuan Jailani dan Abdul Ghani Abdul Rahman membuktikan keupayaan kesemua pemain untuk menjaringkan gol dan tidak bergantung hanya kepada barisan serangan. Apapun kemenangan ini adalah kemenangan moral kepada barisan pemain negara yang bakal menghadapi saingan yang lebih sengit dalam perlawanan akan datang. Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan seterusnya pada hari Selasa 16 Disember bertempat di Kompleks Sukan Maybank, Bangi pada jam 8.30 malam, insyaAllah.
Barisan pemain - Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani (Mohd Aizuddin Othman), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Lucian Dumat (Ahmad Zaki Basharuddin), Khairul Izwan Khalid, Mohizam Shah Dawood Shah

Sunday, December 14, 2008

Malaysia bersiap sedia hadapi Timor Leste

Barisan negara sudah bersiap sedia untuk memulakan cabaran di Sukan Universiti ASEAN 2008 apabila bertemu Timor Leste dalam perlawanan pertama acara bolasepak di Kompleks Sukan Maybank, Bangi malam ini. Para pemain telah diingatkan untuk tidak mengambil sikap sambil lewa dan ambil mudah akan pasukan lawan sekalipun Timor Leste telah ditewaskan mudah oleh Thailand 4-0. Para pemain telah diarah untuk bermain seperti biasa dengan mengambilkira serta mengetahui akan kekuatan diri sendiri tanpa terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan. Pasukan negara bakal dibarisi oleh pemain-pemain utama yang telah beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
Barisan kemungkinan - Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (c), Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah, Khairul Izwan Khalid.

Friday, December 12, 2008

Mazlan Yaakob kembali bersama pasukan

Pemain pertahanan dari Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Mazlan Yaakob kini kembali ke pangkuan pasukan bagi memperkukuhkan lagi barisan pertahanan pasukan negara setelah Mohd Fadzirul Zakaria yang asalnya dipersetujui oleh pasukan Selangor untuk mewakili negara, tidak mendapat pelepasan dan telah mengalami kecederaan dalam satu siri perlawanan persahabatan di Kuala Selangor. Kecederaan yang dialami oleh Mohd Fadzirul merupakan satu tamparan hebat terhadap pasukan negara namun begitu, pihak pengurusan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan. Kehadiran Mazlan sedikit sebanyak mampu menggalas sebarang cabaran yang bakal dihadapi khususnya bagi mengisi ruang yang ditinggalkan oleh pemain pertahanan Selangor. Mazlan, sebelum ini sudah pun menjalani latihan bersama pasukan negara namun terpaksa diketepikan kerana hanya 20 pemain sahaja yang boleh disenaraikan di sepanjang temasya sukan dwi tahunan ini.

Wednesday, December 10, 2008

Malaysia panaskan badan dengan Singapura

Pasukan Malaysia akan mengadakan perlawanan memanaskan badan dengan pasukan Singapura di padang Kolej 14 Universiti Putra Malaysia pada hari Khamis, 11 Disember 2008 pada jam 5.00 petang. Perlawanan ini bakal digunakan sebaik-baiknya oleh jurulatih kedua-dua pasukan bagi menguji kemantapan pasukan sebagai persiapan terakhir menjelang perlawanan pembukaan masing-masing. Malaysia akan membuka tirai pertandingan bertemu Thailand pada 14 Disember 2008 bertempat di Kompleks Sukan Maybank pada jam 8.30 malam.

FA Selangor main tarik tali

Pengurusan pasukan bolasepak MASUM kesal dan dukacita dengan tiadanya semangat kesukanan dan patriotisma di kalangan pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor. Keputusan terbaru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk tidak melepaskan pemain pertahanan Mohd Fadzirul Zakaria untuk menyertai kem latihan pasukan negara ke Sukan Universiti ASEAN 2008 sewajarnya mengundang rasa marah dan kecewa pengurusan bolasepak MASUM. Sebelum ini pengurusan bolasepak MASUM sudah pun membuat permohonan secara bertulis dan lisan kepada pengurusan FAS bagi mendapatkan khidmat Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin, kedua-duanya penuntut di UPM. Atas dasar prihatin tentang keperluan pasukan Selangor, maka pihak pengurusan MASUM bertolak ansur untuk hanya mendapatkan seorang sahaja pemain Selangor sekalipun kedua-dua pemain tersebut bakal tampil sebagai tenaga penting dalam perancangan jurulatih negara. Insiden terbaru ini sekaligus menampakkan sikap ego dan pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan akan tugas memartabatkan nama negara. Untuk rekod, kelab-kelab seperti KL Plus FC (Reeshafiq Alwi), Felda United FC (Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan), PKNS FC (Mohizam Shah Dawood Shah), Proton FC (Mohd Norhafizzuan Jailani, Razlan Joffri Ali) dan T-Team FC (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal) telah pun melepaskan pemain-pemain mereka untuk mewakil negara ke Sukan Universiti ASEAN.

Sunday, December 7, 2008

Pasukan bercuti sempena Aidil Adha

Pasukan negara akan mula bercuti rehat selama 3 hari sempena Hari Raya Aidil Adha. Setelah mengharungi 2 minggu latihan di Kem Pemantapan yang dilangsungkan di UPM, Serdang, kini para pemain akan pulang bercuti ke kampung halaman masing-masing bagi merayakan Aidil Adha. Para pemain bersama dengan para atlet yang lain kemudiannya akan melaporkan diri di perkampungan pasukan di Hotel J.W.Marriot Putrajaya pada 9 Disember 2008 bagi memulakan persiapan menghadapi Sukan Universiti ASEAN 2008.
Pengurusan pasukan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh anggota pasukan bolasepak MASUM dan juga atlet-atlet negara yang bakal menggalas cabaran dan mengharumkan nama negara di puncak dunia. SALAM AIDIL ADHA

Saturday, December 6, 2008

Peluang Ahmad Zaki buktikan keupayaan

Ketiadaan Mohd Zaiza Zainal Abidin akibat tidak mendapat pelepasan dari pasukan Selangor memberi ruang dan peluang kepada penyerang Ahmad Zaki Basharuddin untuk membuktikan keupayaannya sebagai salah seorang pemain yang dapat memberi sumbangan bermakna kepada pasukan negara di Sukan Universiti ASEAN 2008 nanti. Penuntut dari UiTM Arau ini asalnya terpaksa diketepikan dari senarai pasukan akibat kecederaan lutut yang dialaminya. Namun hasil pemeriksaan dan imbasan yang dilakukan oleh pakar otopedik PPUM mendapati kecederaan yang dialaminya tidak serius dan membolehkan beliau untuk beraksi. Namun begitu beliau perlu melepasi ujian kecergasan yang akan dilakukan bagi membolehkan beliau tersenarai dalam senarai pasukan.

Fadzirul hadir tanpa Zaiza

Mohd Fadzirul Zakaria hadir ke kem latihan pasukan negara berseorangan tanpa seorang lagi pemain Selangor, Mohd Zaiza Zainal Abidin. Pengurusan pasukan MASUM terpaksa membuat keputusan untuk hanya menerima Mohd Fadzirul Zakaria setelah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan menyertai kem latihan pasukan yang sedang dalam persiapan terakhir menghadapi Sukan Universiti ASEAN 2008. Keengganan pengurusan bolasepak Selangor melepaskan kedua-dua pemain untuk turun menjalani latihan sedikit sebanyak mengganggu proses persiapan khusus untuk menguji keserasian gandingan pasukan di bahagian pertahanan. Pengurusan pasukan tiada pilihan lain melainkan terpaksa memilih satu daripada dua pemain pertahanan bagi membolehkan mereka menyertai kem latihan.

Wednesday, December 3, 2008

AUG 2008 - Filipina Pasukan Terbaru Menarik Diri

Acara bolasepak Sukan Universiti ASEAN 2008 kini hanya bakal menampilkan 5 negara sahaja setelah berita terkini mengesahkan Filipina sebagai negara terbaru menarik diri dari acara bolasepak. Penarikan diri Filipina kini bakal mengubah format pertandingan yang asalnya dijadualkan dalam bentuk liga 2 kumpulan kepada liga 1 kumpulan sahaja. Ini bermakna pasukan negara akan mengharungi 4 perlawanan dengan perlawanan pertama bakal menemukan Malaysia dengan Singapura dan diikuti dengan Indonesia, Thailand dan Timor Leste.
Kesemua perlawanan bagaimanapun akan kekal dijalankan di Kompleks Sukan Maybank, Bangi dan sepakmula akan dilakukan pada jam 8.30 malam. Pasukan negara bakal menghadapi tentangan dari Thailand dan Indonesia bagi melayakkan diri ke perlawanan akhir, insyaAllah. Jadual tidak rasmi setakat ini adalah seperti berikut :-
12.12.08 - Malaysia lwn Singapura
14.12.08 - Malaysia lwn Indonesia
16.12.08 - Malaysia lwn Thailand
18.12.08 - Malaysia lwn Timor Leste
20.12.08 - Perlawanan Akhir

Haris Safwan Ketua Pasukan MASUM


Dari kiri - Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Mohd Fahmi Mohamad Isa
Mohd Haris Safwan Mohd Kamal dari Universiti Malaya (UM) telah dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pasukan bolasepak negara ke Sukan Univeristi ASEAN 2008 yang dijadualkan berlangsung dari 11-21 Disember 2008. Beliau yang mewakili pasukan T-Team dalam kempen Liga Premier 2009 nanti merupakan calon yang paling sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan ini berdasarkan kepada pengalaman yang dimilikinya khusus dalam arena bolasepak kebangsaan. Sementara itu, pengurusan pasukan juga bersetuju untuk melantik Mohd Fahmi Mohamad Isa dari KLIUC selaku Penolong Ketua Pasukan. Mohd Fahmi merupakan antara pemain yang berpengalaman dan akan beraksi bersama pasukan Felda United FC dalam kempen Liga Premier 2009.

Tuesday, December 2, 2008

Senarai Akhir Pasukan ke SUA 2008

Senarai terakhir pasukan bolasepak negara ke Sukan Universiti ASEAN 2008 telah dikenalpasti dan telah diumumkan kepada para pemain dalam satu perjumpaan yang diadakan. Ketua Jurulatih, Azman Hj Eusoff telah memaklumkan senarai 20 pemain yang bakal menggalas tanggungjawab besar untuk mengibarkan cabaran negara. 2 pemain Selangor yang sebelum ini tidak mendapat pelepasan dari Persatuan Bolasepak Selangor, Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin, juga termasuk di dalam senara 20 pemain tersebut. Walaubagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut disyaratkan untuk hadir sebelum 6 Disember 2008 bagi membolehkan mereka dikekalkan. Sementara itu, pemain berpotensi, Ahmad Zaki Basharuddin terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan lutut yang agak serius manakala Mazlan Yaakob tidak disenaraikan memandangkan terlalu ramai pemain pertahanan yang dimiliki oleh skuad ini. Senarai penuh pemain adalah seperti berikut :-

1. Mohamad Fahmi Mohd Isa (KLIUC - Penjaga Gol)
2. Mohd Saiful Aswad Kamaruddin (UM - Penjaga Gol)
3. Abdul Ghani Abdul Rahman (UPM - Pertahanan)
4. Mohd Fadzirul Zakaria (UPM - Pertahanan)
5. Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim (Politeknik - Pertahanan)
6. Mohd Hasmarul Fadzir Hasan (UPM - Pertahanan)
7. Mohd Shahid Othman (UiTM - Pertahanan)
8. Mohd Zaiza Zainal Abidin (UPM - Pertahanan)
9. Razlan Joffri Ali (UPM - Pertahanan)
10. Amiro Faizal Azali (UPM - Tengah)
11. Mohd Aizuddin Othman (Politeknik - Tengah)
12. Mohd Hafiz Mohd Zaini (UniKL - Tengah)
13. Mohd Norhafizzuan Jailani (UiTM - Tengah)
14. Reeshafiq Alwi (UM - Tengah)
15. Khairul Izwan Khalid (KLIUC - Penyerang)
16. Lucian Dumat - (UPSI - Penyerang)
17. Mohd Efindy Mohamad Saleh (UM - Penyerang)
18. Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (UM - Penyerang) Ketua Pasukan
19. Mohd Syafiq Mohd Zahari (UniKL - Penyerang)
20. Mohizam Shah Dawood Shah (UPM - Penyerang)

Monday, December 1, 2008

Kem Pemantapan di UPM

Sebaik sahaja tamat Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Jemputan pada 26 November yang lalu, pasukan bolasepak MASUM terus melaporkan diri ke Kem Pemantapan yang diadakan di UPM, Serdang bermula dari 27 November 2008. Kem Pemantapan kali ini menggabungkan kesemua atlet dari semua acara yang bakal dipertandingkan di Sukan Universiti ASEAN nanti.
Aktiviti-aktiviti yang disediakan agak padat dengan acara kawad mendahului setiap sesi pada setiap hari. Tujuan kem ini adalah bagi memastikan persediaan terakhir semua acara berada pada tahap yang optima di samping acara-acara simbolik yang lain seperti penyerahan bendera kontinjen oleh Menteri Pengajian Tinggi dan juga pakaian-pakaian resmi atlet di sepanjang sukan itu nanti. Kem akan bersurai pada 6 Disember 2008 dan para atlet akan bercuti sempena dengan Hari Raya Aidil Adha dan akan kembali melaporkan diri ke perkampungan sukan di Hotel J.W. Marriot Putrajaya sehingga tamatnya Sukan Universiti ASEAN nanti.