Sunday, March 8, 2009

Harapan Bolasepak Ke Universiade Berkecai?

Harapan pasukan bolasepak MASUM yang telah berjaya memenangi pingat perak dalam temasya Sukan Universiti ASEAN 2008 Disember lalu untuk disenaraikan ke Sukan Universiti Dunia (Universiade 2009) di Zagreb, Serbia Julai nanti boleh dianggap musnah. Ini kerana Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang bermesyuarat baru-baru ini telah memutuskan untuk tidak menghantar pasukan bolasepak memandangkan mutu dan prestasi pasukan disangsikan kualitinya untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan dunia.
Andai ini satu keputusan muktamad yang telah dicapai, maka amat malang bagi bolasepak universiti yang telah dibentuk demi kesinambungan bukan sahaja untuk SUA malahan di peringkat Asia dan dunia. Sekalipun jika kualiti yang dimiliki tidak menepati piawaian MASUM, setidak-tidaknya inilah peluang terbaik bagi mereka bersaing dan memperolehi pengalaman di peringkat yang paling tinggi bagi memperkasakan diri untuk saingan tahun 2010 di Chiangmai nanti. Umum sentiasa memperkatakan tentang tiada kesinambungan dalam setiap kerja dan tugasan yang dibuat dan dirancang dan tanggapan ini semakin tepat jika inilah keputusan yang telah dicapai oleh pengurusan MASUM maka nilai yang telah dibelanjakan untuk membentuk pasukan sebelum ini hanyalah satu pelaburan yang sia-sia. Wallahualam.