Sunday, March 8, 2009

Harapan Bolasepak Ke Universiade Berkecai?

Harapan pasukan bolasepak MASUM yang telah berjaya memenangi pingat perak dalam temasya Sukan Universiti ASEAN 2008 Disember lalu untuk disenaraikan ke Sukan Universiti Dunia (Universiade 2009) di Zagreb, Serbia Julai nanti boleh dianggap musnah. Ini kerana Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang bermesyuarat baru-baru ini telah memutuskan untuk tidak menghantar pasukan bolasepak memandangkan mutu dan prestasi pasukan disangsikan kualitinya untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan dunia.
Andai ini satu keputusan muktamad yang telah dicapai, maka amat malang bagi bolasepak universiti yang telah dibentuk demi kesinambungan bukan sahaja untuk SUA malahan di peringkat Asia dan dunia. Sekalipun jika kualiti yang dimiliki tidak menepati piawaian MASUM, setidak-tidaknya inilah peluang terbaik bagi mereka bersaing dan memperolehi pengalaman di peringkat yang paling tinggi bagi memperkasakan diri untuk saingan tahun 2010 di Chiangmai nanti. Umum sentiasa memperkatakan tentang tiada kesinambungan dalam setiap kerja dan tugasan yang dibuat dan dirancang dan tanggapan ini semakin tepat jika inilah keputusan yang telah dicapai oleh pengurusan MASUM maka nilai yang telah dibelanjakan untuk membentuk pasukan sebelum ini hanyalah satu pelaburan yang sia-sia. Wallahualam.

Wednesday, January 21, 2009

Terima Kasih KPT, Terima Kasih MASUM

Malam Penghargaan SUA 2008 yang dilangsungkan di Dewan Perdana Felda semalam memberi erti yang cukup besar kepada para atlet dan pegawai serta individu-individu yang terlibat dalam menjayakan Sukan Universiti ASEAN 2008 baru-baru ini. Sekalipun hanya hanya disajikan dengan jamuan dan hiburan yang tidak seberapa namun makna yang tersirat di sebalik majlis itu jelas mencerminkan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) menghargai jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh setiap individu samada di atas pentas pertandingan mahupun di sebalik tabir. Pemberian insentif kepada para atlet oleh pihak KPT dan MASUM merupakan sesuatu yang tidak terduga sebaliknya ia harus diterima oleh para atlet bahawa pengorbanan ikhlas demi memertabatkan sukan dan nama negara adalah menjadi junjungan dan mengatasi segalanya.
Sekalung tahniah kepada mereka yang jelas prihatin di atas perkara seumpama ini. Apapun adalah diharapkan kerjasama erat di antara KPT, MASUM dan IPTA, IPTS serta lain lain badan pendidikan dapat diteruskan dan dipertingkatkan demi menjulang nama MALAYSIA di persada dunia, insyaAllah.

Wednesday, January 14, 2009

Malam Penghargaan SUA 2008

Satu majlis penghargaan bagi meraikan kejayaan kontinjen negara di Sukan Universiti ASEAN XIV Kuala Lumpur 2008 akan diadakan pada 20 Januari 2009 bertempat di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur. Majlis ini adalah bagi meraikan para atlet yang telah mengharumkan nama negara dalam pelbagai disiplin yang telah dilangsungkan dalam sukan dwi tahunan tersebut. Adalah difahamkan, antara kandungan malam penghargaan itu ialah pemberian insentif kepada para atlet yang telah berjaya memenangi pingat-pingat yang dipertandingkan.
Pasukan bolasepak yang telah merangkul pingat perak adalah di antara barisan atlet yang bakal menerima imbuhan di atas pengorbanan dan pencapaian mereka. Sesungguhnya segala penat lelah dan juga limpahan keringat yang jatuh demi negara tercinta masih dihargai oleh pihak yang berkenaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Sukan Universiti Malaysia. Semoga dengan penghargaan seumpama ini, bakal melonjak para atlet universiti untuk terus tampil menyumbang tenaga dalam kejohanan sukan yang akan datang demi negara Malaysia yang tercinta.

Saturday, January 3, 2009

Ke Mana Selepas SUA 2008

Tirai Sukan Universiti ASEAN 2008 telah dilabuhkan dengan cemerlang apabila kontinjen negara meraih 91 pingat emas dan menjadi juara keseluruhan buat pertama kalinya dalam sukan dwi tahunan ini sejak ianya mula diperkenalkan. Jumlah kutipan pingat yang dimenangi melepasi jumlah yang disasarkan oleh Unit Penyediaan Atlet MASUM dan sesungguhnya ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Syabas kepada seluruh anggota MASUM, UPA dan kontinjen MALAYSIA!
Pasukan bolasepak MASUM juga telah mencapai kejayaan yang agak memberangsangkan sekalipun hanya meraih pingat perak dalam sukan ini. Namun prestasi yang ditunjukkan oleh seluruh anggota pasukan jelas membuktikan mereka kualiti daya saing yang tinggi dan sebahagian besar dari pemain-pemain yang mewakili negara adalah mereka yang telah memberikan komitmen yang padu dan bukan bersandarkan semata-mata atas kedudukan mereka yang mewakili kelab-kelab dan pasukan negeri dalam persaingan Liga Malaysia. Berdasarkan kepada komitmen ini, nyata mereka punya potensi untuk bersaing ke peringkat yang lebih tinggi dari SUA 2008. Ke mana kah hala tuju barisan negara selepas ini? Sukan Antara Institusi Pengajian Malaysia (SIPMA), Sukan Universiti Asia dan Sukan Universiti Dunia yang akan diadakan di Belgrade, Serbia dari 1-12 Julai 2009 adalah antara kalendar sukan universiti yang telah tersenarai. Apakah mereka akan menyertai sukan-sukan ini tertakluk kepada keputusan MASUM untuk menentukannya. Apapun adalah diharapkan segala hasil yang telah dicapai tidak akan terhenti hanya di SUA sahaja malahan diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi lagi dan diyakini mereka mampu mencapai sesuatu yang lebih baik, insyaAllah.