Saturday, January 3, 2009

Ke Mana Selepas SUA 2008

Tirai Sukan Universiti ASEAN 2008 telah dilabuhkan dengan cemerlang apabila kontinjen negara meraih 91 pingat emas dan menjadi juara keseluruhan buat pertama kalinya dalam sukan dwi tahunan ini sejak ianya mula diperkenalkan. Jumlah kutipan pingat yang dimenangi melepasi jumlah yang disasarkan oleh Unit Penyediaan Atlet MASUM dan sesungguhnya ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Syabas kepada seluruh anggota MASUM, UPA dan kontinjen MALAYSIA!
Pasukan bolasepak MASUM juga telah mencapai kejayaan yang agak memberangsangkan sekalipun hanya meraih pingat perak dalam sukan ini. Namun prestasi yang ditunjukkan oleh seluruh anggota pasukan jelas membuktikan mereka kualiti daya saing yang tinggi dan sebahagian besar dari pemain-pemain yang mewakili negara adalah mereka yang telah memberikan komitmen yang padu dan bukan bersandarkan semata-mata atas kedudukan mereka yang mewakili kelab-kelab dan pasukan negeri dalam persaingan Liga Malaysia. Berdasarkan kepada komitmen ini, nyata mereka punya potensi untuk bersaing ke peringkat yang lebih tinggi dari SUA 2008. Ke mana kah hala tuju barisan negara selepas ini? Sukan Antara Institusi Pengajian Malaysia (SIPMA), Sukan Universiti Asia dan Sukan Universiti Dunia yang akan diadakan di Belgrade, Serbia dari 1-12 Julai 2009 adalah antara kalendar sukan universiti yang telah tersenarai. Apakah mereka akan menyertai sukan-sukan ini tertakluk kepada keputusan MASUM untuk menentukannya. Apapun adalah diharapkan segala hasil yang telah dicapai tidak akan terhenti hanya di SUA sahaja malahan diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi lagi dan diyakini mereka mampu mencapai sesuatu yang lebih baik, insyaAllah.

No comments: