Sunday, March 8, 2009

Harapan Bolasepak Ke Universiade Berkecai?

Harapan pasukan bolasepak MASUM yang telah berjaya memenangi pingat perak dalam temasya Sukan Universiti ASEAN 2008 Disember lalu untuk disenaraikan ke Sukan Universiti Dunia (Universiade 2009) di Zagreb, Serbia Julai nanti boleh dianggap musnah. Ini kerana Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang bermesyuarat baru-baru ini telah memutuskan untuk tidak menghantar pasukan bolasepak memandangkan mutu dan prestasi pasukan disangsikan kualitinya untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan dunia.
Andai ini satu keputusan muktamad yang telah dicapai, maka amat malang bagi bolasepak universiti yang telah dibentuk demi kesinambungan bukan sahaja untuk SUA malahan di peringkat Asia dan dunia. Sekalipun jika kualiti yang dimiliki tidak menepati piawaian MASUM, setidak-tidaknya inilah peluang terbaik bagi mereka bersaing dan memperolehi pengalaman di peringkat yang paling tinggi bagi memperkasakan diri untuk saingan tahun 2010 di Chiangmai nanti. Umum sentiasa memperkatakan tentang tiada kesinambungan dalam setiap kerja dan tugasan yang dibuat dan dirancang dan tanggapan ini semakin tepat jika inilah keputusan yang telah dicapai oleh pengurusan MASUM maka nilai yang telah dibelanjakan untuk membentuk pasukan sebelum ini hanyalah satu pelaburan yang sia-sia. Wallahualam.

Wednesday, January 21, 2009

Terima Kasih KPT, Terima Kasih MASUM

Malam Penghargaan SUA 2008 yang dilangsungkan di Dewan Perdana Felda semalam memberi erti yang cukup besar kepada para atlet dan pegawai serta individu-individu yang terlibat dalam menjayakan Sukan Universiti ASEAN 2008 baru-baru ini. Sekalipun hanya hanya disajikan dengan jamuan dan hiburan yang tidak seberapa namun makna yang tersirat di sebalik majlis itu jelas mencerminkan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) menghargai jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh setiap individu samada di atas pentas pertandingan mahupun di sebalik tabir. Pemberian insentif kepada para atlet oleh pihak KPT dan MASUM merupakan sesuatu yang tidak terduga sebaliknya ia harus diterima oleh para atlet bahawa pengorbanan ikhlas demi memertabatkan sukan dan nama negara adalah menjadi junjungan dan mengatasi segalanya.
Sekalung tahniah kepada mereka yang jelas prihatin di atas perkara seumpama ini. Apapun adalah diharapkan kerjasama erat di antara KPT, MASUM dan IPTA, IPTS serta lain lain badan pendidikan dapat diteruskan dan dipertingkatkan demi menjulang nama MALAYSIA di persada dunia, insyaAllah.

Wednesday, January 14, 2009

Malam Penghargaan SUA 2008

Satu majlis penghargaan bagi meraikan kejayaan kontinjen negara di Sukan Universiti ASEAN XIV Kuala Lumpur 2008 akan diadakan pada 20 Januari 2009 bertempat di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur. Majlis ini adalah bagi meraikan para atlet yang telah mengharumkan nama negara dalam pelbagai disiplin yang telah dilangsungkan dalam sukan dwi tahunan tersebut. Adalah difahamkan, antara kandungan malam penghargaan itu ialah pemberian insentif kepada para atlet yang telah berjaya memenangi pingat-pingat yang dipertandingkan.
Pasukan bolasepak yang telah merangkul pingat perak adalah di antara barisan atlet yang bakal menerima imbuhan di atas pengorbanan dan pencapaian mereka. Sesungguhnya segala penat lelah dan juga limpahan keringat yang jatuh demi negara tercinta masih dihargai oleh pihak yang berkenaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Sukan Universiti Malaysia. Semoga dengan penghargaan seumpama ini, bakal melonjak para atlet universiti untuk terus tampil menyumbang tenaga dalam kejohanan sukan yang akan datang demi negara Malaysia yang tercinta.

Saturday, January 3, 2009

Ke Mana Selepas SUA 2008

Tirai Sukan Universiti ASEAN 2008 telah dilabuhkan dengan cemerlang apabila kontinjen negara meraih 91 pingat emas dan menjadi juara keseluruhan buat pertama kalinya dalam sukan dwi tahunan ini sejak ianya mula diperkenalkan. Jumlah kutipan pingat yang dimenangi melepasi jumlah yang disasarkan oleh Unit Penyediaan Atlet MASUM dan sesungguhnya ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Syabas kepada seluruh anggota MASUM, UPA dan kontinjen MALAYSIA!
Pasukan bolasepak MASUM juga telah mencapai kejayaan yang agak memberangsangkan sekalipun hanya meraih pingat perak dalam sukan ini. Namun prestasi yang ditunjukkan oleh seluruh anggota pasukan jelas membuktikan mereka kualiti daya saing yang tinggi dan sebahagian besar dari pemain-pemain yang mewakili negara adalah mereka yang telah memberikan komitmen yang padu dan bukan bersandarkan semata-mata atas kedudukan mereka yang mewakili kelab-kelab dan pasukan negeri dalam persaingan Liga Malaysia. Berdasarkan kepada komitmen ini, nyata mereka punya potensi untuk bersaing ke peringkat yang lebih tinggi dari SUA 2008. Ke mana kah hala tuju barisan negara selepas ini? Sukan Antara Institusi Pengajian Malaysia (SIPMA), Sukan Universiti Asia dan Sukan Universiti Dunia yang akan diadakan di Belgrade, Serbia dari 1-12 Julai 2009 adalah antara kalendar sukan universiti yang telah tersenarai. Apakah mereka akan menyertai sukan-sukan ini tertakluk kepada keputusan MASUM untuk menentukannya. Apapun adalah diharapkan segala hasil yang telah dicapai tidak akan terhenti hanya di SUA sahaja malahan diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi lagi dan diyakini mereka mampu mencapai sesuatu yang lebih baik, insyaAllah.

Sunday, December 21, 2008

Final SUA 2008 - Malaysia 0 Thailand 1

Malaysia gagal mencapai hasrat untuk menggongol pingat emas pertama mereka dalam acara bolasepak selepas tewas kepada Thailand 0-1. Gol Thailand yang dijaringkan seawal minit ke-9 telah membolehkan pasukan pelawat memperolehi keyakinan yang diperlukan. Pasukan negara bermain dengan baik dan mengatur banyak serangan khusus dalam separuh masa kedua tetapi gagal mencipta ruang untuk menjaringkan gol. Beberapa peluang yang diperolehi oleh pemain-pemain negara gagal dimanafaatkan.
Kemasukan Khairul Izwan Khalid dan Mohd Syafiq Mohd Zahari bagi menggantikan Ahmad Zaki Basharuddin dan Mohizam Shah Dawood Shah dalam separuh masa kedua sedikit sebanyak merubah rentak permainan, namun begitu dalam situasi kritikal untuk mendapatkan gol penyamaan, ianya gagal dimainkan oleh barisan negara. Apapun Malaysia redha dengan hanya sekadar memperolehi pingat perak dalam temasya SukanUniversiti ASEAN XIV Kuala Lumpur 2008 ini.
Barisan pemain - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Ahmad Zaki Basharuddin (Khairul Izwan Khalid), Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal.

Friday, December 19, 2008

Malaysia ke Final - Sejarah baru tercipta!

Kejayaan pasukan bolasepak negara ke final Sukan Universiti ASEAN 2008 telah mencipta sejarah baru untuk pasukan itu sendiri mahupun kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang menaungi sukan bolasepak universiti. Sejak pembabitan negara dalam kejohanan dwi tahunan berkenaan, ini merupakan kali pertama Malaysia melangkah ke perlawanan akhir. Pencapaian terbaik negara ialah apabila melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir dalam kejohanan di Surabaya, Indonesia pada tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia.
Pencapaian ini seterusnya mendorong para pemain untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan sejarah tercipta sebagai barisan pertama negara yang memenangi pingat emas dalam kejohanan Sukan Universiti ASEAN. Sekalipun beraksi dalam pentas yang berbeza, para pemain berazam untuk memberikan persembahan terbaik demi mengembalikan keyakinan dan maruah bolasepak negara di persada dunia, insyaAllah.

SUA 2008 - Malaysia 1 Singapura 0

Malaysia mencipta sejarah untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir acara bolasepak dalam Sukan Universiti ASEAN 2008 setelah menewaskan Singapura 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Kompleks Sukan Maybank, Bangi. Kehadiran ribuan para penyokong pasukan negara untuk memberi sokongan kepada para pemain jelas membangkitkan semangat. Malaysia membuat rombakan kecil dengan menyenaraikan Mohd Shafiq Mohd Zahari dalam kesebelasan utama menggantikan Luciat Dumat namun percaturan tersebut tidak mendatangkan hasil yang diharapkan sebaliknya Mohd Shafiq kelihatan gugup dalam penampilan sulongnya dalam kesebelasan utama. Khairul Izwan Khalid (gambar) menjaringkan gol kemenangan Malaysia hasil umpanan Mohizam Shah Dawood Shah pada minit ke 40.
Singapura tampak lebih tersusun berbanding pasukan negara yang kelihatan goyah namun ketangkasan penjaga gol, Mohamad Fahmi Mohd Isa berjaya menyelematkan beberapa percubaan bahaya yang dilakukan oleh pasukan Singapura. Malaysia memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menambah bilangan gol malangnya gagal disempurnakan oleh barisan penyerang negara. Malaysia kini dijadualkan bertemu Thailand dalam perlawanan akhir, insyaAllah.

Thursday, December 18, 2008

Malaysia waspada hadapi Singapura

Malaysia akan menghadapi Singapura malam ini dengan pendekatan yang berhati-hati. Ini perlu memandangkan Singapura adalah pasukan underdog yang telah melayakkan diri mengenepikan cabaran Vietnam. Malaysia akan menurunkan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Thailand sekaligus diharap mampu mengekalkan konsistensi permainan. Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang sesuai ketika menghadapi Singapura kerana dalam dua perlawanan sebelumnya, Singapura telah menggunakan permainan bertahan dan hanya menggunakan kaedah 'counter attack' menerusi seorang sahaja pemain penyerang. Apapun, adalah diharapkan barisan negara mampu menangani situasi ini dan menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan dan pengalaman mereka untuk menghasilkan kemenangan dalam usaha mengukir sejarah melayakkan diri ke perlawanan akhir, insyaAllah.
Barisan kemungkinan - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Razlan Joffri Ali, Mohd Shahid Othman, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Mohizam Shah Dawood Shah, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Khairul Izwan Khalid

Wednesday, December 17, 2008

SUA 2008 - Malaysia 1 Thailand 0

Malaysia melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan bermakna setelah menewaskan musuh tradisi, Thailand 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Kompleks Sukan Maybank, Bangi malam tadi. Kehadiran hampir 3000 penyokong pasukan negara menyemarakkan lagi pasukan Malaysia dalam menghadapi Thailand. Gol cantik jaringan Mohizam Shah Dawood Shah (gambar) pada minit ke 60 menggegarkan Kompleks Sukan Maybank. Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang dan memperolehi peluang yang seimbang untuk menjaringkan gol.
Thailand bagaimanapun memiliki keupayaan teknikal yang baik berbanding Malaysia namun begitu kesungguhan dan kemampuan menggunakan ruang yang hadir untuk menjaringkan gol ternyata memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan. Ketua pasukan, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal memperolehi 2 peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun peluang itu dipersiakan bagi menjarakkan lagi jaringan gol. Malaysia kini akan berdepan Singapura dalam perlawanan separuh akhir apabila melayakkan diri setelah tewas 0-1 kepada Indonesia dan sekaligus mengenepikan cabaran Vietnam. Perlawanan separuh akhir Malaysia - Singapura akan dilangsungkan di venue yang sama pada jam 8.45 malam.
Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Khairul Izwan Khalid (Mohd Shafiq Mohd Zahari), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Mohd Aizuddin Othman), Mohizam Shah Dawood Shah (Ahmad Zaki Basharuddin)

Tuesday, December 16, 2008

Malaysia kekalkan barisan yang sama hadapi Thailand

Malaysia bakal menurunkan kesebelasan pemain yang sama bagi menghadapi Thailand dalam perlawanan kedua malam ini. Jurulatih negara menaruh keyakinan yang sama pada pemain-pemain yang telah menewaskan Timor Leste sebelum ini. Sekalipun ujud kebimbangan akan faktor kecederaan dan kad kuning yang mungkin mengakibatkan pemain pertahanan Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) terlepas peluang beraksi dalam separuh akhir nanti jika beliau mengutip kad kuning keduanya malam ini. Apapun, pemain-pemain telah diarahkan untuk bermain seperti biasa tanpa memikirkan faktor kekuatan dan kelemahan lawan.

Barisan kemungkinan - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Shahid Othman, Razlan Joffri Ali, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani, Lucian Dumat, Khairul Izwan Khalid, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (c), Mohizam Shah Dawood Shah