Wednesday, December 10, 2008

FA Selangor main tarik tali

Pengurusan pasukan bolasepak MASUM kesal dan dukacita dengan tiadanya semangat kesukanan dan patriotisma di kalangan pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor. Keputusan terbaru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk tidak melepaskan pemain pertahanan Mohd Fadzirul Zakaria untuk menyertai kem latihan pasukan negara ke Sukan Universiti ASEAN 2008 sewajarnya mengundang rasa marah dan kecewa pengurusan bolasepak MASUM. Sebelum ini pengurusan bolasepak MASUM sudah pun membuat permohonan secara bertulis dan lisan kepada pengurusan FAS bagi mendapatkan khidmat Mohd Fadzirul Zakaria dan Mohd Zaiza Zainal Abidin, kedua-duanya penuntut di UPM. Atas dasar prihatin tentang keperluan pasukan Selangor, maka pihak pengurusan MASUM bertolak ansur untuk hanya mendapatkan seorang sahaja pemain Selangor sekalipun kedua-dua pemain tersebut bakal tampil sebagai tenaga penting dalam perancangan jurulatih negara. Insiden terbaru ini sekaligus menampakkan sikap ego dan pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan akan tugas memartabatkan nama negara. Untuk rekod, kelab-kelab seperti KL Plus FC (Reeshafiq Alwi), Felda United FC (Mohd Fahmi Mohamad Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan), PKNS FC (Mohizam Shah Dawood Shah), Proton FC (Mohd Norhafizzuan Jailani, Razlan Joffri Ali) dan T-Team FC (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal) telah pun melepaskan pemain-pemain mereka untuk mewakil negara ke Sukan Universiti ASEAN.

No comments: