Wednesday, November 12, 2008

Matlamat Pasukan Bolasepak MASUM

Sebagai tuan rumah kepada Sukan Universiti ASEAN XIV 2008, sudah tentu matlamat utama setiap anggota pasukan bolasepak MASUM, samada pemain mahu pun jurulatih dan pihak pengurusan serta MASUM sendiri, kami bertekad untuk membawa kejayaan kepada seluruh warga universiti serta rakyat Malaysia keseluruhannya. Kejayaan ini bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri bukan sahaja untuk warga universiti malahan kepada seluruh peminat, pencinta dan mereka yang menyanjung sukan bolasepak tanahair yang dahagakan kejayaan.
Sejarah memaparkan betapa bolasepak merupakan acara terulung dalam setiap pertandingan atau pun karnival sukan dan di Sukan Universiti ASEAN (SUA) 2008, perkara ini tidak terkecuali. Andai pasukan bolasepak negara gagal mencapai kejayaan maka kontinjen negara juga akan dianggap tewas secara keseluruhannya sekalipun mampu merangkul pingat emas tertinggi. Begitulah tingginya harapan yang diletakkan kepada pasukan bolasepak negara dalam SUA 2008 ini nanti. Untuk itu, seluruh anggota pasukan negara, baik pemain mahupun pegawai perlu berikrar untuk memberikan yang terbaik disusuli dengan tekad dan keazaman yang tinggi berserta komitmen dan kesungguhan yang padu bagi memastikan juara bolasepak menjadi milik MALAYSIA.
Kepada seluruh warga Malaysia amnya dan warga universiti khususnya, hulurkanlah sokongan padu kepada pasukan bolasepak negara dan mudah-mudahan dengan berkat doa semua, kejayaan akan menjadi milik kita, insyaALLAH.

No comments: